mereka yang hebat

Monday, April 15, 2013

lagu damai penghujung benua asia


selamat datang ke kampung sungai buntu, pontian. johor darul takzim.



pucuk ubi. tepi jalan je sepanjang laluan. 
kalau nak makan petik je terus. segar!




 cari benda tersembunyi.



surau yang dibina semula menggantikan surau lama.
jauh lebih baik dari sebelumnya, siap tambah pagar lagi.

aku anak kampung!


bunga jenjuang.

kelapa muda yang sangat sedap diminum kalau waktu tengah hari panas terik.

tampuk kelapa. kalau rajin, kumpul banyak banyak jadikan bunga hiasan.
kalau malas macam aku, jawabnya.. err.. faham faham sendiri.

kepada sesiapa yang tak tau, benda ni namanya tajak kelapa.
buat daripada kayu.
fungsinya ialah untuk asingkan sabut dengan tempurung kelapa.

sabut kelapa. selalunya kalau kat kampung aku, 
sabut kelapa ni tujuannya sebagai bahan bakar.
*kita bakor~*










pokok nibong. tujuannya sebagai tiang untuk menambat bot.


yang bulat bulat kat sepanjang laluan berlumpur tu ialah 
bekas tapak kaki nelayan yang menolak bot ke laut.


sarang burung helang. buat pakai ranting kayu.


pokok api api.

pokok sebaru.

pokok piai - asal usul nama tanjung piai. 

pisang kapas. spesies pisang yang susah nak jumpa, bak kata ayah aku.

buah nam nam.

buah kelapa sawit.

heliconia sp. / bird of paradise / bunga sepit udang

buah pinang yang dah dibelah dua.
pinang ni yang orang selalu buat makan sirih tu. 
mula mula jemur buah pinang tengah panas sampai kering, 
kemudian dicungkil keluar isinya pakai sudu atau pisau.
aku dulu kecik kecik pernah amik upah buat benda ni.

ridiculously photogenic goat.

terima kasih pada ayah yang sudi bawak kami jalan jalan melihat alam di kampung sungai buntu, kampung tercinta ni time cuti sekolah. memang faveret ayah aku bawak jalan jalan tempat semulajadi meredah hutan macam ni. style kan ayah aku? yeah. oppa komando style.

disebabkan gambar terlalu banyak, maka aku malas mahu membebel panjang panjang. pepatah ada mengatakan, picture worth a thousand words. jadi, silalah menikmati keindahan alam ciptaan Allah ini. semoga kita sama sama mendapat manfaatnya.

berjumpa lagi di lain entri.
sekian terima kasih.

Monday, April 1, 2013

masjid sultan abu bakar, johor bahru


25.03.2013.
lokasi : masjid sultan abu bakar, jalan gertak merah. johor bahru.


sempena cuti sekolah hari tu, aku dan keluarga sempat berkunjung ke masjid sultan abu bakar, johor bahru untuk menunaikan solat zuhur lepas berjalan cuci mata sekitar bandar johor bahru. banyak dah yang dah berubah. aku sampai tak kenal tempat sendiri pulak dah. haha. so, kali ni aku nak kongsi serba sedikit tentang masjid negeri johor yang unik ni.

masjid ni telah dibina pada tahun 1892 oleh Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim dan mengambil masa 8 tahun untuk disiapkan. pada 1900, anakandanya, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar telah merasmikan pembukaan masjid ini pada 1 Syawal 1317 hijrah bersamaan 02.02.1900 yang jatuhnya pada hari jumaat. oleh itu, buat pertama kalinya, masjid ini telah digunakan untuk solat jumaat. kos pembinaan menelan belanja sebanyak RM400,000. arkitek pintar yang telah membina masjid ini ialah Tuan Haji Mohamed Arif bin Punak dan diselia oleh jurutera YB Dato' Yahya bin Awalluddin.

disebabkan masjid ini dibina pada kurun ke 19, maka masjid ini mendapat sentuhan senibina moore yang terkenal sekitar timur tengah dan eropah pada zaman itu. bukan demi moore ya. senibina moore. kan masa tu british datang menjajah negara kita. jadi, sedikit sebanyak bangunan bangunan lama di sekitar johor bahru ni mendapat tempias senibina gaya eropah termasuk la masjid ni. walaubagaimanapun, aku dapat perhatikan banyak antara bahagian bahagian di kawasan sekitar masjid ni yang menyerupai alhambra di granada, sepanyol yang telah dibina pada tahun 889 masihi. antaranya ialah taman mini yang dipenuhi pelbagai spesies pokok renek dan air pancut di kawasan laluan gazebo yang dibina berhadapan masjid. maksudnya, walaupun ianya berasal daripada eropah, sebenarnya senibina moore adalah senibina islam.



salah sebuah taman di alhambra, sepanyol.

boleh rujuk kat sini : http://en.wikipedia.org/wiki/Alhambra

dahulunya, gazebo ni tak ada taman. aku rasa ianya baru dibina dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini. sebab waktu aku datang dulu, tak ingat tahun bila, ada satu kolam yang besar sebenarnya untuk memudahkan orang khususnya lelaki untuk mengambil wuduk terus tanpa perlu pergi tempat wuduk kat dalam masjid. tapi mungkin atas faktor maintenance dan faktor nyamuk denggi mungkin buat port kat situ, maka ianya telah diganti dengan taman dan air pancut. kalau tak diubah dari kolam kepada taman sekalipun, tetap hampir sama dengan alhambra dan juga taj mahal, juga mempunyai kolam yang terletak di bahagian hadapan bangunan.

 alhambra, granada. sepanyol.

 taj mahal, agra. india.

alhambra dan taj mahal adalah senibina moore.

terdapat 4 buah menara kecil mengelilingi masjid ini. setiap satu menara mempunyai kubah berwarna hitam. keseluruhan bangunan masjid ini dicat dengan warna putih dan dilatari warna kuning krim untuk jendela dan pintu.


walaupun terdapat unsur senibina moore, namun dengan kepintaran arkiteknya, beliau berjaya memasukkan unsur kemelayuan dalam pembinaan masjid ini. paling ketara sekali pada daun tingkapnya. beliau menggunakan jendela papan yang biasa terdapat di rumah rumah kampung pada zaman dahulu untuk dijadikan tingkap masjid ini. uniknya, jendela papan ini masih kukuh dan seolah olah tidak reput walaupun telah berusia lebih daripada 100 tahun. atau to be exact, 113 tahun.


di kawasan sekitar masjid ini, telah dibina lanskap yang terdiri daripada rimbunan pokok pokok yang rendang untuk menyejuk dan meneduhkan kawasan masjid. lokasi masjid ini juga agak strategik kerana terletak di kawasan atas bukit yang menganjur ke laut. oleh itu, persekitaran ruang masjid kelihatan sentiasa sejuk dan nyaman walaupun cuaca kat luar panas terik.



di seberang sana ialah singapura.

ruang dalam masjid ini dibina dua tingkat. tingkat bawah untuk muslimin dan tingkat atas adalah untuk para muslimah bersolat. ruang paling bawah atau bawah tanah dikhaskan untuk tempat wuduk dan juga tandas untuk tujuan kebersihan. masjid ini boleh menampung kapasiti jemaah sehingga 3000 orang dalam satu satu masa. kebiasaannya, masjid ini digunakan oleh pelajar dari maahad johor yang terletak bersebelahan masjid, pekerja kerajaan dan swasta yang bekerja di sekitar kawasan masjid, dan pelajar pelajar dari sekolah yang berhampiran masjid ini. masjid ini juga menjadi salah satu tumpuan pelancong yang singgah melancong di negeri johor darul takzim.

lantai masjid diperbuat daripada batuan marmar yang diimport daripada Itali. disebabkan itu, ruang dalam masjid ini sentiasa sejuk walaupun tak ada sebuah aircond pun dalam masjid ni. masjid ini juga dibina secara open concept. pengudaraan dan pencahayaan dalam masjid agak baik. bila aku masuk ke dalam masjid ini dan aku kaji semula, baru aku tau yang sebenarnya, open concept dah lama wujud kat Malaysia. bukan baru lagi. tak percaya? tengok gambar kat bawah ni..


ni tingkat bawah. ada koridor yang luas di antara deretan jendela dan pintu pintu ke bahagian dalam ruang solat muslimin. setiap hari, pekerja akan datang dan membersihkan lantai masjid. jendela sentiasa dibuka untuk tujuan pencahayaan dan pengudaraan ruang dalaman masjid. di luar jendela adalah kawasan yang menghadap laut dan tanjung puteri.



ini pemandangan dari tingkat atas. nampak ruang yang terbuka kat awning warna biru tu? awning berwarna biru dipasang bertujuan untuk kalis hujan dan memberi efek sejuk di bahagian tengah masjid. dari dalam dah boleh nampak menara masjid.

hiasan dalaman masjid ni banyak bercirikan gaya eropah disulami dengan gaya nusantara. dan struktur binaan bahagian dalam masjid ni hampir sama dengan masjid imam syafie di mesir.


pengaruh senibina moore dan gaya eropah dapat dilihat pada kawasan tangga yang menghubungkan antara ruang solat muslimah dengan tingkat bawah. gaya nusantara pulak dapat dilihat pada bahagian pintu. pintunya diperbuat daripada papan dan terdapat kepingan kaca berwarna warni di bahagian atas pintu macam yang biasa dipasang di rumah kampung di Malaysia.



lampu lampu dalam masjid ini terdiri daripada chandelier yang diimport daripada Turki.

dan berikut ialah ruang dalam untuk para muslimin bersolat.


perhatikan di setiap tiang. 
ada rak buku mini untuk meletak al quran dan pelbagai jenis kitab.

yang ini kawasan dalam masjid imam syafie, mesir.
hampir sama, kan?

berikut pulak adalah pemandangan kawasan luar dan persekitaran masjid yang sempat aku snap.

pintu masuk ruang solat muslimah

ini pintu masuk bagi muslimin

 tangga luar untuk ke tingkat atas ruang solat muslimah

 anjung luar untuk majlis makan makan. agaknya la kot. 
makan je yang aku tau. huhu. oke fine.



ada awan besar yang memayungi masjid masa aku amik gambar ni.

dekat kawasan gazebo dan susur gajah kat luar masjid, ada seorang pelukis bernama zakaria atau nama timangannya pak ya. pak ya memang dah lama jadi pelukis bebas dekat masjid ni. beliau menjual karya hasil tangannya sendiri menggunakan bahan dan media warna air, pen dakwat, dan cat akrilik. kebiasaannya, beliau akan melukis di atas kertas pearl ataupun sutera bergantung kepada jenis media yang digunakan. karya beliau dijual dari harga serendah RM 30 bergantung kepada jenis karya.


kepada sesiapa yang masih belum berkunjung ke johor, jemputlah singgah ke masjid sultan abu bakar ni. masjid ini tidak pernah sunyi dengan kunjungan. walaupun tak secantik atau segah masjid alhambra, masjid al hassan dan masjid imam syafie yang sebenar, tapi masjid ini masih lagi setia meneruskan bakti teguh berdiri dengan meneduhi para muslimin untuk menunaikan kewajipan kepada yang Maha Esa walaupun telah berusia hampir 113 tahun. keindahan dan kebersihan masjid ini masih dipelihara sehingga ke hari ini. dapat disimpulkan daripada pemerhatian aku, rekaan luar bangunan masjid nampak penuh perincian yang teliti dan rekaan dalaman yang simple but elegant. melambangkan rakyat johor darul takzim. macam aku. eh? hahaha. oke tak kelakar langsung.

berikut ialah link research yang aku dah buat. terima kasih google.

http://ms.wikipedia.org/wiki/Masjid_Negeri_Sultan_Abu_Bakar
http://en.wikipedia.org/wiki/Sultan_Abu_Bakar_State_Mosque
http://www.arkib.gov.my/masjid-abu-bakar-johor3
http://cintajohor.blogspot.com/2012/02/sejarah-masjid-sultan-abu-bakar.html


sekian terima kasih.

Wednesday, March 27, 2013

kapal terbang kertas


tarikh : 21.03.2013, khamis.

pagi isnin itu merupakan hari terakhir dia di sekolah. aku langsung tak sangka dia akan pergi tinggalkan kami semua tanpa pamit segala.

hari khamis yang permai tempoh hari ialah khamis yang terakhir sebelum cuti sekolah. aku datang lagi ke kelas itu dengan harapan 'dia' hadir hari ini. aku nak tanya terus padanya, kenapa tulis 'cikgu batista mengamuk'. siapa cikgu batista? persoalan yang gedik mengacau fikiran aku sejak minggu lepas perlu segera aku hapuskan. semua dalam kelas berdiri memberi ucap selamat sejahtera. tapi aku langsung tak nampak kelibat dia. mana pulak dia pergi kali ni?

"mana hakimi?" (bukan nama sebenar)

"dia tak ada cikgu"

"dia pergi mana?" aku tanya zul.

"dia tak hadir, cikgu"

"kenapa dia tak hadir?"

"dia dah kena buang sekolah, cikgu"

satu kelas senyap tiba tiba macam ada malaikat lalu.

"awak biar betul.."

"betul, cikgu."

"eh.. takkan la dia kena buang sekolah."

"betul cikgu.." 

senyap lagi. dia yang aku tunggu sehingga hari ini, dah dibuang sekolah.
aku?
terdiam tanpa kata.

sumber : [link]

sebagai seorang cikgu matapelajaran sivik, aku dah gagal membentuk minda siviknya ke arah yang lebih baik.

mengenali dia seperti harapan aku yang dahulu pun belum terlaksana lagi. dia dah pun pergi.
suatu masa yang indah di lain hari, aku harap dapat bertemu dengannya lagi.
tanggungjawab aku masih belum selesai. dia tetap murid aku walau tak belajar lagi di sini.


tolong doakan perjuangan aku.

Monday, March 11, 2013

ini sungguh epik..



sangat epik. 
ngam ngam ho je susunan dia.

Sunday, March 10, 2013

senyumlah. senyumlah. ahaii cik mek molek!


semalam, buat kesekian kalinya, kesabaran aku teruji lagi. sampai satu tahap, aku rasa mahu buat tak tau je dengan pelajar aku yang seorang ini. pelajar lelaki itu. perangainya yang suka mencabar itu memang boleh buat sesiapa pun sakit hati. muka selamba tak rasa bersalah kalau masuk lewat. siap boleh keluar masuk kelas sesuka hati macam aku tak wujud depan kelas ni.

setiap kali aku tanda buku kawalan kelas yang dah memang tersedia atas meja kelas tu, mesti nama dia dulu yang ada dekat 'kes laporan khas'. buat bising. masuk lewat. kacau kawan. ada saja. tak sah kalau tak ada. hari hari dia juga jadi 'bintang' dalam kelas. tak sah sehari kalau dia tak berlegar tawaf satu kawasan sekolah.

suatu hari, buat kesekian kalinya, aku masuk lagi ke kelas itu. aku hadiahkan juga senyuman paling manis untuk anak anak murid kesayangan aku dalam kelas itu walaupun hakikatnya terasa sukar juga bila memikirkan terpaksa berhadapan dengan dia. aku tak benci dia. cuma aku tak tahu apa yang boleh melembutkan hati dia untuk terima aku sebagai cikgu barunya. tuhan tolong.. lembutkan hati dia.. *selingan*. nak pandang mata aku bila bercakap pun susah. 

tiba tiba seorang pelajar lelaki yang duduk tepi pintu tanya aku satu soalan.

"cikgu, cikgu dah gaji ke hari ni?"

aku pandang dia dengan muka pelik. 

"kenapa awak tanya macam tu?"

"sebab cikgu senyum je hari ni. tak pernah sekali pun saya nampak cikgu senyum macam ni dalam kelas kami" balasnya dengan senyuman yang lebar.

lepas tu, sekalian kelas tanya aku macam macam soalan.

aku senyum lagi. buat kesekian kalinya. rupanya pelajar aku ni suka kalau aku senyum. entah apa yang istimewa sangat pada mereka, aku pun tak tahu.

"kenapa? selama ni cikgu garang sangat ke?"

"hehe. garang.. tapi sekarang baru tahu yang cikgu ada lesung pipit kat pipi. patut la cikgu tak nak senyum selalu. mahalnya lesung pipit cikgu." anak murid aku senyum lagi.

aku nampak 'dia' senyum jugak bila dengar kawannya cakap macam tu.

"cikgu, hari ni kita nak belajar apa?"

suara tu. ya. dia. dia tanya aku soalan. aku pandang dia dengan rasa tak percaya.

"hari ni kita nak belajar apa, cikgu?" dia mengulang soalan yang sama pada aku.

aku senyum. "unit 2, membuat keputusan"


***

"kita ni cikgu, kena selalu senyum dengan anak murid. wujudkan budaya mesra dengan pelajar dan warga sekolah. baru wujud rasa sayang pelajar pada kita. belajar pun jadi mudah."

"pakailah pakaian yang melambangkan kredibiliti seorang guru. pakai kasut bertutup dan bertumit. tak tinggi pun tak apalah, cikgu. janji nampak sopannya seorang guru dengan berkasut tutup. pakailah baju dengan kemas dan cantik. kalau datang sekolah dengan selekeh, nanti murid pun rasa tak semangat nak belajar. pakaian melambangkan diri kita, cikgu"

***

kata kata pengetua dalam mesyuarat petang semalam buat aku muhasabah diri balik. benar. ada banyak kurangnya pada diri aku. mungkin sebab tu anak murid pun macam tak suka bila aku masuk kelas. mengajar di sekolah menengah lain rupanya berbanding mengajar di sekolah rendah. pendekatannya berbeza. mereka ini insan insan yang perlu aku sentuh hatinya. terlalu rapuh. pernah aku rasa nak menangis depan kelas disebabkan 'dia'. tapi tak jadi. sebab aku terlalu geram. sebab aku tahu aku yang dah gagal sebenarnya dalam mendidik anak anak ini. aku seorang guru yang perlu melenturkan rebung di penghujung ini sebelum terlambat menjadi buluh.

"kalau kita rasa nak menangis sekalipun dalam kelas, tahan dulu cikgu. jangan tinggalkan kelas macam tu saja. sabar. mendidik anak anak ni untuk jadi baik bukan sehari dua, cikgu. kalau rasa nak menangis sangat, habis kelas pergilah ke bilik air. menangislah. jangan sampai anak anak murid nampak air mata kita sebagai seorang guru ni, cikgu. sebab nanti anak anak murid akan hilang percaya pada kita, gurunya"

sungguh aku terasa. 

sungguh. bila aku nampak si 'dia' yang satu sekolah tahu 'hardcore'; senyum pada aku, ibarat satu penawar yang aku tak boleh gambarkan dengan kata kata. macam air sejuk yang mengalir memadamkan semua bahang yang aku rasa dalam hati selama ini. kemudian, baru aku perasan. seteruk teruk dia, tak pernah lagi dia ponteng sekolah. malah semua kerja sekolah yang aku suruh buat, dia buat dengan tekun dalam kelas. tak pernah angkat kepala kalau tangan dah pegang pen untuk menulis latihan. aku yang terlepas pandang sebenarnya. aku yang khilaf hanya kerana tingkahnya pada aku yang sambil lewa. kalau tak ada buku teks, dialah orang pertama yang akan keluar kelas dan mencari buku teks sampai jumpa. itu puncanya dia hilang tiba tiba kalau masuk waktu aku mengajar.

hari itu, aku senyum sepanjang hari. 

aku tahu aku tak mampu untuk mengubah hati manusia. tetapi aku nampak keikhlasan di matanya. aku tak mahu dia berubah sebab aku. tapi aku harap dia berubah kerana dia sendiri yang mahu untuk berubah. bukan sebab terpaksa, atau bukan sebab takutkan aku.

sumber : [link]

dan cikgu minta izin untuk mengenali diri kamu. dan semua anak anak murid cikgu yang lain.






itu baru satu kes. kebanyakan kelas yang aku mengajar adalah kelas penghujung. tapi tak apa.

sesungguhnya pengalaman mendewasakan.










sekian terima kasih.

Monday, March 4, 2013

belajar untuk menghargai


manusia memang tak pernah puas dengan hidup. kita kena ingat satu benda :
rezeki kita ini, Allah yang beri. bukan manusia. kalau sesuatu itu memang dah tertulis menjadi rezeki kita, buatlah macam mana sekalipun, takkan ada tangan yang boleh menghalang rezeki itu daripada sampai kepada kita. dengan apa cara sekalipun.

ya. peluang dan rezeki itu bukan datang selalu. usaha. dan belajarlah untuk menghargai.

semenjak dua menjak ni, rezeki untuk aku tak putus putus datang. macam air sungai. deras. lepas satu, satu. alhamdulillah. aku rasa hidup jadi terlalu sempurna. terlalu cukup. walaupun sekarang ni hebat diperdebat isu penempatan guru yang masih kabur lagi hujung ceritanya, tapi sekali pun dalam hidup ini aku tak pernah rasa kekurangan. aku tak pernah menyesal memilih untuk menjadi seorang guru. malah bersyukur.

aku masih hidup hari ini, dan masih diberi peluang untuk mendengar perkataan keramat 'cikgu' dari anak anak murid. masih diberi peluang untuk mencurah ilmu dan mendidik anak anak bangsa. masih diberi peluang menjadi seorang guru, walaupun hakikatnya tauliah pun belum lagi.

masih diberi peluang untuk mengenal dunia yang luas. masih diberi peluang untuk mengenal kemahuan anak anak remaja. masih diberi peluang mengenal senyuman ikhlas huluran tangan seorang kawan.

masih lagi.

yang tinggal hanyalah belajar untuk menghargai.

dua minggu lepas, 22.2.2013, hari jumaat. aku mula bertugas. semua ahli keluarga menyokong. gembira yang teramat sampaikan baru lepas dapat panggilan untuk bertugas serta merta, terus sanggup kedua dua orang tuaku berdesup meredah lebuhraya utara selatan pada hari yang sama. mak memborong baju kurung untuk aku. katanya buat temuduga dan mengajar. biar jangan selekeh. biar jangan sememeh. belikan palang penggantung baju kurung. katanya gosok baju siap siap untuk seminggu. biar lebih bersedia.

esoknya, abang aku belikan ironing aid dan penyangkut pewangi untuk digantung. dua dua wangi. abang macam tahu aku suka benda yang wangi wangi. abang tak cakap apa apa. tapi aku tahu abang pun bagi sokongan moral sebenarnya.

aku tak tahu nak cakap apa. terima kasih semua.

aku ini ibarat patah sayap. baru belajar untuk terbang semula. benar. kita hanya manusia biasa. dan kita tak boleh tagih janji manusia. kita hanya boleh berusaha yang terbaik untuk diri kita. selebihnya urusan Allah. Allah tahu siapa yang berusaha. dan Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk kita.

sabarlah.

dan belajarlah untuk lebih menghargai.

sumber : [link]


sekian terima kasih.

p/s : takziah kepada pejuang negara yang terkorban di lahad datu. al-fatihah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...