mereka yang hebat

Monday, October 19, 2015

kacang


kau pasti kau akan bahagia selepas kahwin?
kau pasti sekarang kau belum bahagia sebab kau belum kahwin?
kau pasti kau dah cukup bahagiakan mak ayah kau?
atau sebaliknya hingga sekarang kau masih lagi dibahagiakan oleh mak dan ayah kau?
kau pernah terfikir semua ini?
adakah pengakhiran semua manusia mesti berakhir dengan kahwin?
atau pengakhiran seseorang pastinya sebuah kematian?
lalu mengapa kau masih fikir bahawa kahwin itu satu-satunya jalan kebahagiaan?
mengapa tidak terfikir bahawa membahagiakan ibu ayahmu juga satu cara berkongsi kebahagiaan?
adakah bahagia yang kau cari hanya boleh diberi oleh seorang lelaki yang kau tak pernah kenali?
sedangkan ibu ayahmu yang sejak dulu mengasihi kau, ada di rumah
masih kau tak pedulikan hingga kini?
perlukah kau curah rasa kasih tak bertepi pada lelaki yang kau cintai?
cinta yang kau cari belum tentu kau miliki, belum tentu terbalas.
ibu dan ayahmu di rumah yang tak lagi kuat memenuhi permintaanmu, yang mencintaimu sesungguh hati, tak pernah pula kau peduli.

pernah terfikir kenapa kau sunyi tanpa cinta yang tak pernah wujud itu?
sedangkan ibu ayahmu sentiasa menunggu di muka pintu
mengharapkan kasih sayang darimu yang sering kau nafikan haknya.

kalau kau rasa cinta dari seorang lelaki yang kau tak pernah kenal itu cinta agung,
cinta agung aturan Tuhan yang kau panggil sebagai jodoh
yang kau pun tak tau datang sebagai apa, dengan rupa apa, dengan cinta yang bagaimana,
kau harapkan sesuatu yang tak pasti,
sedangkan emak ayah kau wujud di rumah tapi kau pandang sepi,

nyata kau belum matang.

baliklah. bahagiakan orang tuamu dulu.

selami hatinya.

mereka tak pernah minta.

tapi mereka punya mata, punya jiwa, punya rasa.


jangan jadi kacang
yang lupa kulitnya



sekadar ingatan bersama
dari aku dan untuk aku yang belum matang.







hush,
1616 p.m.
19102015




Monday, September 7, 2015

manusia dan cinta


hati manusia
jangan kau duga
kau takkan pernah tahu
apa yang pernah ada di dalamnya

kalau hati mampu berkata-kata
pastinya hati itu sentiasa meminta
pasti hati itu bakal merayu
pasti hati itu mohon selalu

minta pemiliknya berhenti berharap
singkirkan cahaya dan menuju gelap
kuncikan segala tabir dan pintu
dari menerima lagi tetamu

kau takkan pernah tahu
hati ini sudah pecah seribu
seiring waktu
hatinya kering dan bisu
bertahun pemiliknya memikul sisa debu
yang berserakan agar tidak tercicir lagi
agar ia pulih kembali
walau mustahil untuk sempurna lagi

hati ini
tidak harus dipinjamkan kepada sesiapa lagi
hati ini, walau pemiliknya tidak sanggup menyentuhnya lagi
kerana keringnya
kerana kerasnya
kerana penuhnya dengan luka
yang tidak mampu lagi dibilang dengan jari

seiring masa dan usia
hati ini takkan lagi mengerti istilah cinta








hati ini
hati manusia
bukan hati boneka







hush. 07092015. 0337a.m.

Thursday, July 16, 2015

ar-rahmaan


assalamualaikum guys.

aku nak kongsi pengalaman aku mengendalikan tadarus di sekolah pada bulan ramadhan setiap tahun. tahun ni masuk tahun ketiga aku menyambut ramadhan di sekolah sebagai seorang cikgu. tadarus kat sekolah aku dijalankan pada waktu rehat selama setengah jam.


jadi, dipendekkan cerita.. tiap tiap tahun pada hari pertama tadarus, sebelum aku mulakan dengan surah surah lain.. aku akan mulakan dengan surah Ar-Rahmaan dulu. kenapa surah ni yang aku pilih?

1. sebab ianya surah Ar-Rahmaan yang membawa maksud 'Yang Maha Pemurah'.
2. sebab ayatnya pendek pendek, sesuai dengan budak budak yang baru nak belajar membaca Al-Quran.
3. sebab isinya. sarat pengajaran dan peringatan.

selalunya hari pertama memang kami takkan baca ayat demi ayat bersama sama. sebaliknya, aku akan tadabbur ayat ayat dalam surah Ar-Rahmaan ini untuk anak anak aku dengar. beri pemahaman. bahawa Allah Maha Pemurah. tak banyak yang aku tadabbur bagi anak anak ni. lima ayat sahaja. dengan harapan, lima ayat yang pertama ini bakal membuka hati mereka untuk mengenal Pencipta mereka.


A001
(Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya.

A002
Dia lah yang telah mengajarkan Al-Quran.

A003
Dia lah yang telah menciptakan manusia; -

A004
Dia lah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan.

A005
Matahari dan bulan beredar dengan peraturan dan hitungan yang tertentu;


ayat yang rigkas. tapi mudah untuk difahami. aku tarik perhatian anak anak tentang pentingnya syukur atas segala nikmat Tuhan. sungguh indah kalam Allah. sungguh hebat kebesaran-Nya. sehinggakan dalam surah yang dinamakan Ar-Rahmaan.. Allah ceritakan tentang kejadian manusia dahulu.. dan bukannya makhluk lain seperti malaikat, syurga, haiwan dan tumbuhan. kerana Dia telah mencipta manusia dengan sebaik baik kejadian. diberikan akal fikiran untuk berfikir dengan waras. lengkap dengan kebolehan berbicara sehingga mampu menghasilkan idea idea yang bijaksana. Allah beri pancaindera selengkapnya. Allah beri hirup udara percuma. tanpa bayaran walau satu sen pun.


A013
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?


lepas tu baru aku terangkan tentang keindahan syurga. syurga yang lengkap segala. syurga yang dikhaskan untuk manusia yang beriman dan beramal soleh kerana-Nya. indahnya surah ini, Allah ceritakan satu persatu mengikut turutan tanpa ada cacat cela. bagaikan bait kata dalam puisi syair yang indah. kerana Allah bersifat sukakan keindahan. maka Allah mengajarkan manusia agar mencintai keindahan dalam kalam-Nya yang agung.

mungkin aku tak boleh ceritakan semuanya dalam setengah jam waktu tadarus yang singkat itu. tapi aku sentiasa berharap agar anak anak ini dapat mengambil ibrah daripada surah ini. nilai yang semakin terhakis, hanya dapat disuburkan kembali melalui penghayatan Al-Quran. aku ingatkan mereka lagi.. khatam jangan hanya pada tulisan arab yang tidak diketahui hujung pangkal maksudnya, sebaliknya bukalah tafsirnya dan carilah maksud di sebalik ayat-ayat cinta-Nya. aku sendiri bukan huffaz, jauh sekali ustazah. tapi tak salah mengingatkan anak anak ini sementara aku masih berpeluang menjadi guru mereka. 

semoga Allah sentiasa memeluk kita semua dalam rahmat-Nya. manalah tahu, esok lusa kita akan dipanggil pulang oleh-Nya.. dan bakal ditanya tentang masa yang telah kita guna semasa masih bernyawa.


semoga kita sama sama mendapat manfaat. semoga Allah sentiasa sayang kita.





sekian terima kasih.






rujukan :
surah Ar-Rahmaan (terjemahan dalam Bahasa Melayu) : http://www.surah.my/55

Sunday, June 21, 2015

epal


assalamualaikum guys.

lama sudah tak bersua. banyak dah tempat yang aku pergi. banyak juga aktiviti yang aku buat. dan banyak juga cerita yang ingin aku kongsi. tapi maaf, guys. sejak aku dah tak pakai portable broadband, masa aku terhad untuk update blog. hati ini ingin meluah pelbagai rasa. tapi keupayaan terbatas jua. nampak madah pujangga di situ? yes. aku memang poyo awesome.

kali ni aku nak share pengajaran seni yang aku dah buat dengan anak anak murid aku di tahun 3. sebenarnya pengajaran ni aku buat awal tahun. tajuk pertama iaitu menggambar : buah epal dan oren. tajuk yang simple dimple.

dari segi warna, aku fokuskan pada ton warna dan campuran warna asas. aku ajar anak anak ni mengenal campuran warna dan lapisan warna. bagi mereka yang kurang asas seni, mesti akan warnakan epal dengan satu warna sahaja, kan? warna apa lagi kalau bukan warna merah makngah itu. kaler paling win. kali ni aku ubah sikit. caranya mudah je. warnakan lapisan pertama dengan warna kuning. kemudian lapisan kedua warnakan dengan warna merah. buat pengulangan sampai warna tu nampak blending nya.

dari segi lukisan, aku tak sediakan template. aku ajarkan anak anak melukis step by step. sebesar besar kertas lukisan. dari segi psikologi, lukisan yang besar, jelas, dan memenuhi hampir keseluruhan ruang kertas melambangkan yakin diri seseorang kanak kanak. cuma tu lah.. dari segi penggunaan pemadam semasa melukis, masih out. habit murid memang suka memadam, padam, dan padam. takpelah nak. kita belajar perlahan lahan, ya.

dari segi teknik, aku gunakan glazing dalam bentuk melengkung/lengkungan. aku perasan anak anak ni suka guna teknik pelbagai arah. serabut dan menyebabkan buah epal tak nampak 3D. psikomotor halus masih belum berapa menjadi mungkin. tujuan aku guna teknik ni adalah untuk melembutkan tangan, membina psikomotor halus dan kesedaran ruang dan bentuk dalam diri murid.

dari segi media, aku gunakan oil pastel. oil pastel lebih lembut, pekat, terang dan menjimatkan masa. lagipun lebih senang nampak campuran warna berbanding guna media kering yang lain.

okay. tak perlu buang masa lagi.. ni beberapa hasil karya murid yang berjaya aku snap. moga bermanfaat sebagai bahan rujukan.














dari segi emosi, aku mahu mereka berani mencuba dan jadi lebih yakin. jangan stick dengan cara lama sahaja sehingga beku idea dan imaginasi mereka. jadi lebih kreatif dan inovatif. walau tangan masih keras, mudah mudahan dengan proses cuba jaya, anak anak ini boleh mewarna dengan lebih baik lagi pada masa akan datang.

tu saja perkongsian kali ni. in sha Allah kalau ada ilmu dan kemahiran lain aku akan kongsi lagi di sini.


sekian terima kasih.


Tuesday, February 24, 2015

melayu


Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya
Jawa itu Melayu
Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu
Minangkabau memang Melayu
Keturunan Acheh adalah Melayu
Jakun dan Sakai asli Melayu
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mualaf bertakrif Melayu

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri

Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan dihulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan :
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara merdeka








-Usman Awang-

dipetik daripada novel 'The Unsung Hero - Wira Yang Tidak Didendang' karya Melur Jelita.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...