manusia memang tak pernah puas dengan hidup. kita kena ingat satu benda :
rezeki kita ini, Allah yang beri. bukan manusia. kalau sesuatu itu memang dah tertulis menjadi rezeki kita, buatlah macam mana sekalipun, takkan ada tangan yang boleh menghalang rezeki itu daripada sampai kepada kita. dengan apa cara sekalipun.
ya. peluang dan rezeki itu bukan datang selalu. usaha. dan belajarlah untuk menghargai.
semenjak dua menjak ni, rezeki untuk aku tak putus putus datang. macam air sungai. deras. lepas satu, satu. alhamdulillah. aku rasa hidup jadi terlalu sempurna. terlalu cukup. walaupun sekarang ni hebat diperdebat isu penempatan guru yang masih kabur lagi hujung ceritanya, tapi sekali pun dalam hidup ini aku tak pernah rasa kekurangan. aku tak pernah menyesal memilih untuk menjadi seorang guru. malah bersyukur.
aku masih hidup hari ini, dan masih diberi peluang untuk mendengar perkataan keramat 'cikgu' dari anak anak murid. masih diberi peluang untuk mencurah ilmu dan mendidik anak anak bangsa. masih diberi peluang menjadi seorang guru, walaupun hakikatnya tauliah pun belum lagi.
masih diberi peluang untuk mengenal dunia yang luas. masih diberi peluang untuk mengenal kemahuan anak anak remaja. masih diberi peluang mengenal senyuman ikhlas huluran tangan seorang kawan.
masih lagi.
yang tinggal hanyalah belajar untuk menghargai.
dua minggu lepas, 22.2.2013, hari jumaat. aku mula bertugas. semua ahli keluarga menyokong. gembira yang teramat sampaikan baru lepas dapat panggilan untuk bertugas serta merta, terus sanggup kedua dua orang tuaku berdesup meredah lebuhraya utara selatan pada hari yang sama. mak memborong baju kurung untuk aku. katanya buat temuduga dan mengajar. biar jangan selekeh. biar jangan sememeh. belikan palang penggantung baju kurung. katanya gosok baju siap siap untuk seminggu. biar lebih bersedia.
esoknya, abang aku belikan ironing aid dan penyangkut pewangi untuk digantung. dua dua wangi. abang macam tahu aku suka benda yang wangi wangi. abang tak cakap apa apa. tapi aku tahu abang pun bagi sokongan moral sebenarnya.
aku tak tahu nak cakap apa. terima kasih semua.
aku ini ibarat patah sayap. baru belajar untuk terbang semula. benar. kita hanya manusia biasa. dan kita tak boleh tagih janji manusia. kita hanya boleh berusaha yang terbaik untuk diri kita. selebihnya urusan Allah. Allah tahu siapa yang berusaha. dan Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk kita.
sabarlah.
dan belajarlah untuk lebih menghargai.
sumber : [link]
sekian terima kasih.
p/s : takziah kepada pejuang negara yang terkorban di lahad datu. al-fatihah.
No comments:
Post a Comment