22022013
pertama kali bersua muka
pertama kali bertentang mata
pertama kali mengatur bicara
pertama kali mengenal mereka
hati mempersoal sejuta tanya
mata memerhati seribu gaya
bibir menguntum senyum bermakna
kata berbicara penuh rasa
tidak siap kerja sekolah
buku teks tertinggal di rumah
tidur bila datang sekolah
melawan bila disuruh diarah
pelbagai alasan pelbagai hujah
cikgu mendengar penuh hikmah
denda diberi pada yang salah
nasihat diberi memperbetul tingkah
menjadi guru bukanlah mudah
sabar melayan bermacam kerenah
walaupun hati panas dan marah
berdendam sekalipun tidak pernah
12062013
tak terkarang ayat yang indah
tak tersusun bicara bermadah
tak sempurna kata yang terluah
tak tertafsir hati yang gundah
berat hati menanggung resah
berat kaki mengatur langkah
tak terasa penat dan lelah
mengakhiri semua teramat payah
meninggalkan bukan perkara yang mudah
rindu di hati tak pernah kebah
pelajarku,
jadilah hamba-Nya yang taat setia
jadilah anak yang memberi bahagia
jadilah pelajar yang mendengar kata
jadilah sahabat gembira dan duka
jadilah manusia berpekerti mulia
walau siapapun gurumu
tuntutlah ilmu tanpa jemu
hormatilah guru ibarat ibu
taatlah pada gurumu itu
kerana di situ letaknya keberkatan ilmu
walau di mana kamu berada
cikgu doakan sihat sentiasa
cikgu doakan aman sejahtera
cikgu doakan kamu bahagia
cikgu doakan kamu berjaya
di dunia hingga akhirat sana
kenangan bersama mungkin singkat
jauh di mata, di hati dekat
terpahat di ingatan sepanjang hayat
berpisah di sini bukanlah penamat
maafkan cikgu andai terasa
cikgu juga insan biasa
cikgu juga insan biasa
merindu cikgu janganlah selalu
rindulah pada Allah yang satu
salam sayang,
cikgu hush.
18062013, 3.50. a.m.
johor bahru.
nice...
ReplyDeletethanx..
Delete