mereka yang hebat

Sunday, September 2, 2012

bernafas dalam lumpur


entri kali ini aku tulis bukan dengan tujuan untuk menimbulkan perbalahan atau untuk menegakkan siapa salah, siapa betul. aku bukan pemidato, aku bukan pembahas. aku bukan pendebat. kalau berdebat juga, pasti aku akan kalah. kerana aku tidak dikurniakan dengan bakat seperti itu. tetapi apa yang aku ingin sampaikan melalui entri ini sebenarnya ialah..

"siapa pun kita, hormatilah orang lain selayaknya mereka patut dihormati"


sudah tentu anda semua tahu atau mungkin pernah baca tentang blog yang sedang hangat diperkatakan di laman facebook sekarang ini. aku tidak mahu menyebut siapa, kerana aku rasa kamu semua lebih tahu tentang itu. isu tentang profesion keguruan. sebenarnya kalau mengikut archive blog tersebut, entri itu telah ditulis sekitar tahun lepas dan telah pun dipadam oleh blogger itu sendiri. mungkin disebabkan entri yang penuh kontroversi itu, blogger tersebut telah dikecam dengan hebatnya. mungkin.

sejujurnya, bila aku dah baca dan aku fikir semula kandungan entri yang ditulis oleh blogger itu, aku sebenarnya rasa terkesan. aku rasa macam ada hujan batu atas kepala aku mencurah curah. aku juga bakal guru. tapi aku akui ada betulnya apa yang ditulis. betul jika apa yang ditulis itu adalah guru yang tidak komited dalam bekerja. tapi tidak semua guru macam tu. dan bukan semua yang ditulis itu betul. ya. bukan semua.  

seorang guru sebenarnya bukan berdiri untuk menegakkan profesionnya. 
tetapi seseorang guru berdiri untuk menunjuk jalan antara yang benar dan yang salah. 

aku sebenarnya berasa sangat kasihan dengan blogger tersebut. kasihan kerana aku tahu bahawa sebenarnya dia mungkin mengerti sedikit sahaja tentang profesion keguruan ini. mengerti dari sudut luaran. aku akui dia pandai. kerana dia seorang jurutera dan ada sebuah blog untuk diuruskan. dan kerana itu juga dia menulis entri tersebut sedemikian rupa. tetapi sepatutnya blogger tersebut mengucapkan terima kasih kepada guru bahasa melayu, guru bahasa inggeris, guru matematik, guru fizik, dan sesiapa sahaja yang pernah mengajar blogger tersebut sehingga beliau pandai untuk membuat sebuah blog dan menyusun ayat ayat untuk dibaca oleh para pembaca di luar sana. harus diingat. walaupun guru yang mengajar itu ialah seorang guru tadika, beliau tetap seorang cikgu. adakah kerana kerjaya guru tadika yang mengajar anak anak kecil harus dipandang remeh berbanding guru yang mengajar di sekolah menengah? tidak. cabaran antara seorang guru dengan guru yang lain adalah berbeza. kerana seseorang guru itu akan tetap menjadi seorang guru tidak kira di mana dan siapa pun anak murid yang diajar olehnya, walaupun dia telah bersara dan meninggal dunia. guru itu tetap dipanggil 'cikgu' sampai bila bila walaupun hanya tinggal tanda atas nisan sahaja.

berhubung dengan isu memasukkan markah periksa, aku rasa bukan blogger itu sahaja yang pernah berbuat demikian. ramai juga orang lain yang pernah buat. aku juga tidak terkecuali. tetapi aku rasa apalah sangat pertolongan memasukkan markah itu jika dibanding dengan penat lelah seorang guru yang menggalas beg dan pelbagai alat bantu mengajar ke hulu ke hilir sampai tak cukup nafas, turun naik tangga, waktu rehat pun diganggu sebab murid nak tanya soalan macam macam, menyelesaikan masalah disiplin dan sebagainya. tetapi apa yang aku dengar daripada guru tersebut bukan keluhan, sebaliknya mengharapkan agar usaha beliau bersusah payah itu dibalas dengan kejayaan. biar menjadi orang yang berguna supaya apa yang diajar oleh guru tersebut menjadi ilmu yang berkat dan bermanfaat sampai bila bila. 

seorang guru tidak akan membebankan murid murid dengan masalah atau tugasan mereka. percayalah. kerana guru itu juga sebenarnya ibu bapa. guru itu juga manusia. mereka melihat anak anak murid mereka sama seperti melihat anak anak mereka sendiri. polos dan suci. jarang sekali guru menyuruh murid mereka melakukan sesuatu perkara yang membebankan. jarang sekali guru yang menghukum melulu anak anak murid tanpa usul periksa. 

apa yang menjadi pertikaian di sini ialah, blogger tersebut telah "menghukum" kesemua manusia yang bergelar "guru" dengan tulisan berkait dengan profesion ini secara umum. akibatnya, guru yang tidak terlibat turut merasa tempiasnya. dan seterusnya, mengaibkan kesucian profesion keguruan yang selama ini dipandang mulia. kerana tugas guru ialah menyampaikan ilmu. bukan aku yang memberi darjat mulia itu, tetapi di dalam Al-Quran itu sendiri ada menyebut dalam surah Al-'Alaq tentang betapa pentingnya mempelajari ilmu. cuba renung balik setiap isi ayat dalam surah tersebut.

malah jika mengikut adab belajar yang betul juga ada menyebut, hendaklah kita berguru kerana jika kita belajar bersendirian, kita sebenarnya berguru dengan syaitan. ya. sudah tentu kita boleh belajar sendiri. google kan ada. internet kan ada. semua orang juga pernah belajar sendiri. tapi bezanya apabila kita berguru ialah guru boleh menunjuk ajar yang mana betul dan yang mana salah. dan di situlah letaknya rahmat dan kasih sayang yang mengalir antara guru dan murid. dan apabila murid itu mengamalkan ilmu yang telah dipelajarinya itu, di situlah letaknya keberkatan ilmu itu dan akan menjadi pahala yang berterusan kepada guru tersebut. 

isu balik awal dan kerja guru senang juga menjadi pertikaian yang hebat. sebenarnya, guru memang banyak kerja. sehingga balik rumah pun ada lagi kerja yang dibawa balik bersama. ada yang dengan buku latihan, ada yang dengan hasil kerja murid, ada yang dengan kerja kursus dan macam macam lagi, belum campur guru yang menyambung pengajian sambil meneruskan kerja mengajar di sekolah. rata rata guru sekarang memiliki ijazah, dan selayaknya guru berijazah menerima gaji lebih daripada RM2k sebulan. mengapa pula perlu dipertikaikan kerja seorang guru sedangkan guru adalah seorang pemikul amanah yang sangat berat dan bertugas pula sebagai ibu bapa yang kedua di sekolah? 

isu blog dan facebook juga menjadi pertikaian? aku hanya mampu tersenyum kerana aku juga seorang penulis blog. bukan setahun dua tetapi sudah empat tahun. dan aku tiada masalah tentang itu. aku menulis juga bukan kerana pendapatan kerana aku tidak pernah lagi meletakkan sebarang iklan. bagi aku, menulis blog juga adalah cara menyampaikan ilmu dan berkongsi idea aku kepada umum. mungkin bagi kita benda itu tiada apa apa, tapi bagi orang lain mungkin ada manfaatnya. dan banyak lagi blog lain yang berfungsi sebagai pemberi maklumat. mungkin juga blog yang dilayari oleh blogger itu bukan berunsur ilmiah, oleh itu mungkin juga dia tidak tahu kewujudan blog blog seperti ini. wallahu'alam. tentang facebook pula, itu hak masing masing dan tidak salah jika aku katakan golongan gurulah yang sepatutnya ada akaun facebook sebab lebih mudah untuk guru itu tahu what's trending. guru mesti up-to-date, barulah boleh menyelami apa kesukaan murid murid sekarang ni. kalau tak, alamatnya jadi la cikgu yang strict dan bosan. lagi satu, kan banyak isu isu semasa dalam facebook yang berkaitan contohnya macam isu yang tengah dikupas ni. aku bagi contoh je. janganlah terasa. hehe.

isu guru hanya tahu satu matapelajaran sahaja lagilah aku rasa tidak masuk akal. aku rasa mungkin blogger tersebut hidup dalam zaman yang tak sealiran dengan golongan guru baru walaupun usianya masih muda. rata rata cikgu sekarang perlu mengetahui sekurang kurangnya tiga jenis subjek atau matapelajaran. aku sendiri pun ada tiga subjek yang perlu aku belajar dan mungkin akan diajar bila aku bergelar guru kelak. bukan kena tahu teori sahaja, amali pun kena tiptop. itu belum lagi yang mengajar bukan option subjek major. kalau dapat mengajar subjek yang bukan option, apa lagi.. silat cikgu.. jangan tak silat. penuhkan ilmu di dada dengan ilmu yang nak diajarkan kepada murid itu nanti.

sebenarnya, banyak lagi masalah yang berkaitan dengan profesion guru tetapi adalah tidak profesional untuk menyatakan segala masalah dan susah payah itu di sini kerana golongan guru bukan seorang yang mudah mengalah, guru tidak akan meluahkan masalahnya sesuka hati tambah lagi kepada anak anak murid. jika guru bersikap demikian, bagaimana murid hendak mencontohi guru? guru yang dilihat hanya tahu menceritakan masalahnya sendiri, bagaimana pula mahu menyelesaikan masalah anak anak muridnya? guru sebaliknya akan berusaha mencari jalan penyelesaian terhadap setiap permasalahan yang berlaku. mungkin di situlah kelihatan bahawa menjadi seorang guru itu mudah, kerana orang lain tidak tahu dan tidak nampak apa sebenarnya yang dipikul dan yang bermain dalam fikiran seorang guru. namun, mungkin masih ada lagi yang menutup mata dengan segala susah payah yang terpaksa dilalui oleh seorang guru. menjadi seorang guru bukan mudah. ditambah dengan masalah disiplin yang semakin membimbangkan. murid yang diajar bukan sepuluh orang, bukan juga hanya sekelas, tetapi kadang kadang mencecah ratusan orang dengan setiap satunya berbeza karenahnya. jika tidak mempunyai kekuatan yang cukup untuk menghadapi segala tugas yang diberikan, sudah tentu golongan guru ini akan rebah dan hanya menunggu masa untuk memohon berhenti kerja secepat mungkin.

guru bukan nabi. guru bukan maksum. guru hanyalah seorang manusia biasa. sama seperti orang lain.

sejauh mana pula kita yang pernah diajar oleh seorang guru ini hendak mempertikaikan keikhlasan guru yang mengajar itu?

sesungguhnya Allah itu lebih mengetahui. innama a'malu binniat. sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat. biarlah soal niat dengan keikhlasan itu menjadi urusan Allah. apa yang pasti, jika seseorang guru itu ikhlas untuk mengajar kita, kita sebagai murid juga akan merasakan sendiri keikhlasan guru itu dan segala apa yang dipelajari juga lebih mudah untuk kita terima. insyaAllah.


kepada golongan bukan guru, teruskanlah dengan pekerjaan anda tidak kiralah apa sekalipun bidang dan profesion yang kita ceburi. kita jurutera ke, doktor ke, cashier ke, operator pengeluaran ke, hatta cikgu sekalipun, kerjalah seikhlas hati. sebab gaji yang kita terima itulah yang akan diberi untuk mengisi perut kita, keluarga kita, dan anak anak kita. di mana letaknya keberkatan rezeki itu jika kita sibuk mencaci dan merendahkan profesion lain. jangan merendahkan profesion orang lain, kerana kita tidak pernah tahu apa sebenarnya yang dilalui oleh orang lain. hanya si pemakai kasut sahaja yang lebih tahu.

kepada golongan guru, jadikanlah apa yang diperkatakan itu sebagai suatu cabaran. jika kita tahu benda tu salah, buktikan yang sebenarnya apa yang diperkatakan itu tidak benar. bila dipalit dengan lumpur seperti ini, bersihkan semula. jangan biarkan kita terus bernafas dalam lumpur. bernafas di kuala lumpur tak apa. haha. oke tak kelakar. bekerjalah dengan ikhlas, kerana sebenarnya apa yang kita ajar kepada anak anak murid kita akan menjadi salah satu bekalan akhirat kelak. ya. ilmu yang bermanfaat. dan oh, jangan lupa ajarkan anak anak murid kita nanti cara untuk berterima kasih. kerana orang yang tahu berterima kasih sahaja yang tahu untuk menghargai apa yang dia miliki hari ini.

aku tutup entri ini dengan sebuah ungkapan. 

There are really only three types of people: 

Those who make things happen, 

those who watch things happen, 

and those who say, "What happened?"


fikir fikirkan, dan selamat beramal. andai ada perkataan yang kurang senang dan mengguris perasaan, aku minta maaf. aku bukan menegakkan profesion ini kerana aku seorang guru, aku cuma mahu yang lain mengerti siapa sebenarnya seorang guru ini.

sekian terima kasih.

2 comments:

  1. kak nina nak share kat blog kite boleh?? nanti kite kredit blog kak nina.. :) :)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...