mereka yang hebat
Wednesday, August 20, 2014
Friday, August 8, 2014
tanya sama hati

dah lama rasanya aku tak menaip entri berunsur ilmiah. sebab, entri berunsur ilmiah ni memerlukan aku untuk menyelidik, membuat kajian, mencari rujukan, berfikir secara mendalam dan menghalusi sesuatu perkara yang ingin aku sampaikan itu secara menyeluruh.
hati itu tanda Allah maha penyayang. tanda kekuasaan Allah. Allah ciptakan kita hati, tempat di mana jiwa kita duduk. Allah beri kita hati, dan campakkan perasaan kasih sayang di dalamnya untuk kita meneruskan kehidupan kita atas muka bumi ni dengan perasaan kasih sayang sesama manusia hingga akhir hayat kita. Allah anugerahkan kita hati, tempat kita merasa hidayah apabila Allah buka pintu hati kita untuk 'melihat cahaya-Nya'.
kenapa kita selalu salahkan takdir bila apa yang kita hajatkan tak kesampaian? sebab Allah belum buka pintu hati kita untuk melihat kebenaran. bukan sebab Allah tak sayang kita. tapi sebab Allah nak beri kita peluang dan masa untuk melihat hikmah di sebalik sesuatu perkara itu. hikmah yang tersembunyi itu, cuma orang yang mencarinya sahaja yang akan tahu. takkan la sesuatu tu datang tanpa usaha, kan? Allah suka hamba-Nya yang berusaha, sebab tu Allah gagalkan kita dengan ujian-ujianNya sampai la kita betul betul kuat, baru Allah akan beri kita kejayaan. barulah masa tu, kita akan rasa betapa manisnya kejayaan itu.
"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat nadinya."
(Surah Qaf : ayat 16)
Allah pemegang hati kita. berdoalah selalu untuk perkara perkara baik yang kita inginkan. kalau perkara yang kita minta itu Allah tak beri, mungkin Allah nak beri sesuatu yang lebih baik untuk kita. kadang kadang hati kita mesti rasa degil untuk berubah kan? kita masih tertarik untuk suka benda yang kita dah biasa suka atau buat. mohonlah hidayah Allah. moga moga Allah lorongkan jalan kebaikan untuk kita semua. in sha Allah.
kalau niat kita betul betul ikhlas, Allah akan tunjukkan hikmah dalam setiap perkara yang kita buat walaupun perkara tu sekecil kuman. Allah akan lorongkan jalan kebenaran dan Allah hindarkan jalan maksiat untuk kita. Allah takkan pesongkan hati kita dari berbuat kebaikan kalau kita berusaha untuk ikhlas dalam setiap perkara yang kita lakukan. jangan mengeluh, sebab setiap ujian yang Allah beri Allah pakejkan dengan pahala percuma yang bukan setiap masa kita akan dapat.
dalam entri aku yang dulu, aku pernah bagitahu yang cita-cita aku dulu ustazah. tapi cita-cita tu tak kesampaian. dulu aku asyik tanya pada diri sendiri.. kenapa la aku tak boleh jadi ustazah? tak layak, atau mungkin sebab aku tak cukup baik kot? tapi perancangan Allah tu hebat. Allah sangat baik. pusing la macam mana pun, Allah tetap bagi aku peluang untuk jadi 'ustazah' bila bila masa sahaja sejak zaman aku belajar di maktab sampai sekarang.
Daripada 'Abdullah bin 'Amru bin al-'Ash r.a., Rasulullah S.A.W bersabda :
"Sampaikanlah dariku walau satu ayat, dan ceritakanlah tentang Bani Israil tanpa perlu takut. Dan barangsiapa berbohong ke atasku dengan sengaja maka bersiaplah dia mengambil tempatnya di Neraka." (hadis riwayat Al-Bukhari)
(ayat terakhir merujuk kepada larangan menyebarkan hadis palsu)
itu yang aku pegang sampai hari ini. aku tak ada tauliah, tapi apa sahaja ilmu yang aku ada, sama ada ilmu berkaitan agama ataupun duniawi, aku sanggup kongsi percuma dengan sesiapa sahaja. semua nikmat ilmu tu Allah yang bagi. mana boleh aku simpan sorang sorang, kan? sebab mati itu pasti. kita pun tak tahu bila kita akan mati. itu sahaja jihad dan jariah yang aku ada.
hikmah yang aku baru nampak sekarang. alhamdulillah.
sebelum tidur, jom kita tadabbur sikit. Allah berfirman dari Surah Al-'Alaq, ayat 1 hingga 5 :

"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan-Mu yang menciptakan (sekalian makhluk)"

"Ia menciptakan manusia dari segumpal darah beku"

"Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah"

"Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan"

"Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya."
belajar. buka mata hati kita. rasai hikmah dari setiap perkara; nikmat, ujian ataupun hidayah Allah kepada kita. hikmah dari Allah. hanya mampu dilihat oleh mata hati. tanya sama hati, apakah kita telah melihat hikmah dalam setiap perbuatan yang kita lakukan pada hari ini?
aku tak hebat. semua Allah punya.
sekian terima kasih.
rujukan :
2) http://ustazidrissulaiman.wordpress.com/2014/04/19/sampaikan-dariku-walau-satu-ayat/
3) http://www.surah.my/96
3) http://www.surah.my/96
Labels:
Islam is the way of life,
review,
zaman purbakala
Monday, August 4, 2014
diorama
dua minggu selepas ramadhan bermula, aku buat pengajaran diorama dalam kelas dunia seni visual untuk tahun 4. aku mengajar dua buah kelas tahun 4 untuk subjek seni. diorama ni antara salah satu silibus dalam KSSR tahun 4.
diorama ni ialah sebuah hasil seni berbentuk 3D dalam bentuk miniatur. kenapa murid kena tahu buat diorama? sebab selalunya kalau zaman sekarang, diorama ni diaplikasikan contohnya masa ada pameran hartanah atau rumah.. perasan tak ada contoh contoh rekaan rumah dalam bentuk dan skala yang kecil? mungkin ada murid murid ni yang berbakat untuk jadi arkitek atau designer masa akan datang. so, kena la belajar buat diorama yang cantik dan menarik untuk masa depan. hehe.
walaupun buat dalam bulan puasa, tapi budak budak ni tetap bersemangat nak hasilkan diorama yang cantik dengan persembahan yang menarik. sanggup cari bahan dan perah otak untuk dapatkan idea diorama dari internet dan buat sama sama dengan adik beradik dan keluarga. diorama ni mereka buat secara berkumpulan.. tiga hingga enam orang untuk satu kumpulan.
setiap kumpulan diberi masa seminggu hingga dua minggu untuk siapkan diorama masing masing. lepas siap, setiap kumpulan kena buat pembentangan dalam kumpulan di hadapan kelas. lepas pembentangan selesai, ada sesi 'kerusi panas' untuk ahli kumpulan dari kumpulan lain. bab 'kerusi panas' tu yang paling seronok.. anak anak berdebat sampai tak nak balik kelas.. aku memang saja buka sesi soal jawab macam ni. murid murid ni kena diberi peluang untuk berhujah dan mengeluarkan kritikan, idea, dan pendapat masing masing. kadang kadang.. idea, hujah, kritikan atau cadangan murid murid ni lebih bernas dan kreatif berbanding kita sendiri. macam tu baru boleh menyerlahkan bakat kepimpinan dan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan murid murid.
berikut adalah sebahagian pembentangan dalam kumpulan dari anak anak 4 Akram dan 4 Akmal..
sesi 'kerusi panas'
contoh contoh hasil diorama
tema dan bahan bahan murid murid sendiri yang bincang, tentukan dan cari sendiri dalam kumpulan. kebanyakan bahan yang digunakan ada yang beli kat kedai Mr. DIY, beli kat DAISO, kedai alat tulis, print dari internet dan ada juga yang recycle dari barangan terbuang atau terpakai. alhamdulillah. objektif PdP tercapai.
cikgu ami sukaaaa sangat! :)
Labels:
cikgu hush,
photography,
seni itu indah,
sesi apresiasi
Monday, July 21, 2014
rapuh
"Sesungguhnya, Kami telah menurunkan ayat-ayat yang menjelaskan (hakikat kebenaran) dan Allah memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus."
(Surah An-Nur (24) : ayat 46)
"Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang) yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya seumpama orang yang pekak dan buta."
(Surah Al-Furqan (25) : ayat 73)
semoga Allah beri hidayah dan rahmat-Nya untuk kita semua.
muhasabah.
Monday, July 14, 2014
tangisan Gaza
ada kata yang tak terungkap
ada rasa yang tak tersingkap
bumi Gaza bermandi darah
bersatu dalam gelisah dan amarah
hati ini tidak kuat untuk melihat
anak kecil kehilangan segalanya
yang tidak berdosa itu kau bunuh jasadnya
namun jiwa mereka takkan sekali kali mati
takkan tumpas dan tewas dengan ujian ini
1948 menjadi saksi hingga hari ini
perubahan yang dinanti
hari demi hari
sentiasa doa para muslimin mengiringi
rahsianya ada dalam Kalamullah
diceritakan oleh sang penceramah
di dalam Kitab Allah
katanya,
rahsia itu hanya dibaca oleh orang orang yang celik hati, akal dan jiwa
sumber kekuatan kita berpaksikan agama
kuat agama, kuatlah kita
solat itu, kau jagalah
amal jariah, kau tambahlah
sedekah dan bantuan, kau hulurlah
selama mata terbuka kita tak pernah mencerna
kita leka
kita tak cakna
kata simpati
kata peduli
tapi masih buat buta, buat tuli
ubahlah paradigma kita
takkan selamanya kita hanya memerhati
selemah-lemah iman kita menghadapi
bangkitlah dengan doa dan rasa belas dengan setulus hati
hari ini hari mereka
esok lusa mungkin hari kita
takdir Allah tiada siapa yang dapat meneka
apa yang penting ialah usaha
tangisan Gaza sudah lama kedengaran
para syuhada sudah lama pulang ke pangkuan
sapulah air mata mereka
bantulah apa yang terdaya
seorang muslim sejati takkan kenal erti putus asa
biarpun jasad jauh di mata
semoga suatu hari yang indah
Gaza akan tersenyum lagi
amiinn.
Wednesday, July 2, 2014
penawar
tarikh : 1 julai 2014, selasa
tahun : 2 akram
hari ini entah apa angin dia. dia mengamuk nak pergi kelas pemulihan seperti selalu. padahal aku baru je masuk sebelah kaki dalam kelas. hati cikgu mana yang tak sedih bila budak dalam kelas lagi suka belajar kat kelas pemulihan berbanding kelas aku sendiri.
aku nampak dia menangis. sampai kesat air mata bagai. aku diam je. biasanya aku mesti pujuk dia dulu. baru mula kelas macam biasa. tapi hari itu aku diam. sebab aku nak pujuk hati aku dulu. aku tak nak masuk kelas dalam keadaan marah. aku kan cool. heh.
hari ni aku minta budak tulis pola ayat. latihan hari ni simple je. tulis semula empat ayat ikut jenis frasa dari buku teks. tapi lepas setengah jam, buku dia masih kosong tak bertulis apa apa. bila ditanya, macam biasa ayat keramat dia keluar..
"saya tak tahu.."
"tak tahu.."
aku tak tunggu lama. aku tarik kerusi kosong lebih yang memang tersedia kat depan kelas dan duduk sebelah dia. temankan dia buat kerja. terkebil kebil dia tengok aku. mungkin sebab aku jarang nak duduk berhadap macam tu dengan dia. mungkin dia mula merasakan aura keseriusan aku pada waktu tu.
aku tunjuk ajar dia satu persatu. aku minta dia eja, tanya maksud bagi faham dulu kemudian baru boleh tulis dalam buku latihan. empat ayat dalam masa setengah jam. tapi aku rasa berbaloi dan terharu sangat. sebab, inilah pertama kali dia siapkan kerja aku dengan tangan dia sendiri.. bukan dari tangan ayah, mak, atau kakak dia.
satu yang aku kena selalu ingat bila mendidik anak anak ini. mereka insan biasa. buat salah juga setiap masa. bila aku fikir balik, confirm tak jadi nak marah lebih lebih. bantu dia seadanya. itu paling penting.
terima kasih kerana membuat cikgu senyum hari itu.
Saturday, May 17, 2014
terlajak laris

lukisan ini pernah menjadi tugasan aku sewaktu aku masih bergelar guru pelatih.
disiapkan semasa aku berada di tahun ketiga, tiga tahun lepas.
tahun ini,
lukisan ini telah dipamerkan di Pameran Seni Visual 2014, PWTC sempena hari guru.
tiga hari lepas,
lukisan ini telah terjual.
alhamdulillah.
terima kasih para pensyarah atas kesudian mengangkut lukisan ini untuk dipamerkan.
hadiah hari guru paling bermakna untuk aku yang baru menyambutnya buat kali yang pertama.
Labels:
cikgu hush,
seni itu indah,
sesi apresiasi,
terima kasih
Subscribe to:
Posts (Atom)