mereka yang hebat

Saturday, August 11, 2012

dia pun tahu


manusia. Allah hadirkan ke dunia dengan berbeza sifatnya. berbeza budayanya. berbeza warna kulitnya. berbeza latar belakangnya. malah berbeza akhlaknya. tetapi apa yang membuatkan kita semua sama ialah Allah hadirkan peluang yang sama untuk setiap makhluk-Nya yang berusaha. yang berbeza mungkin cepat atau lambat pulangannya. wallahualam.

aku ingin berkongsi tentang sebuah cerita. cerita sebenar tentang seorang kanak kanak muallaf. dia masih di bangku sekolah rendah. seorang gadis kecil yang sangat berminat dalam mendalami agama Islam yang baru dipeluknya beberapa bulan lepas.

dia mungkin tidak setanding rakan rakannya yang lain. dalam kelas pun dia tak pernah dapat nombor satu atau sepuluh mahupun dua puluh yang teratas sekalipun. dia tak menyerlah pun dalam bidang sukan. kemahiran apa pun dia tak ada. pendek kata, tiada apa apa keistimewaan pun untuk dia atau orang lain banggakan. dia sederhana dengan caranya sendiri. tapi apa yang aku paling kagum dengan dia, ialah semangatnya. semangatnya lain dari yang lain.

ceritanya begini. dia mula berminat dengan agama Islam sejak umurnya enam tahun lagi. masa tu dia masih tadika lagi. masa mula mula dulu, dia tak faham kenapa kanak kanak lain yang sebaya dengan dia membaca doa makan sebelum makan. jadi, dari luar pintu, sayup sayup dia akan dengar kanak kanak lain membaca doa dengan serentak. lama kelamaan, disebabkan setiap kali waktu makan dia asyik berdiri dari luar pintu sambil curi dengar kawan kawan lain baca doa makan, maka dia pun naik hafal sama bacaan doa makan tu. sama jugak dengan surah alfatihah.

lepas habis zaman tadikanya, dia pun masuk sekolah rendah. dia tak pernah pilih pun kawan dia. semua pun boleh. melayu, cina, india, semua jadi kawan dia. tapi itu semua tak menghalang dia dari mengenal Islam. dia suka tanya kawan kawan dia tentang Islam. dia suka tanya ustazah kat sekolah dia tentang Islam. kenapa orang Islam pakai tudung? kenapa orang Islam puasa? dia tak peduli walaupun mak ayah dia tak tahu yang senyap senyap dia berminat untuk tahu tentang Islam.

sehinggalah pada suatu hari, masa dia dalam darjah empat, dia rasa dia perlu luahkan jugak kat mak dia tentang hasrat dia yang dah lama terpendam tu. dengan segala keberanian yang dah lama dia kumpul, dia pun cakap kat mak dia..

mak, saya nak masuk Islam..

reaksi maknya? of course mula mula tak setuju. maknya membantah.

kamu kecil lagi. kamu tahu tak apa yang kamu tengah fikir ni? 

tolonglah mak.. saya merayu. benarkan saya masuk Islam. 
kalau boleh, mari kita sama sama masuk Islam, mak. 

maknya terdiam. lama maknya diam. tak sangka dengan permintaan anaknya yang satu tu. lama maknya senyap. sampai hampir setahun. gadis kecil itu tetap tak putus asa. bila dia ada masa mesti dia akan pujuk emaknya.

setahun berlalu. akhirnya lepas setahun, dengan hidayah yang diberikan oleh Allah, maknya pun terbuka hati jugak untuk memeluk Islam. gembiranya si gadis kecil tak terkira sampaikan satu keluarga dia (kakak dan adiknya) turut masuk Islam. syukurnya tak berhenti. lepas masuk Islam, gadis kecil tu terus cari dan beli tudung sekolah dan siap masuk kelas tasmik pulak tu kat sekolah walaupun dia tak faham langsung huruf dan ayat ayat suci Al Quran tu. dia tak malu. malah bangga pulak tu bertudung putih ke sekolah. walaupun ada kawan kawan dia yang pulaukan dia, dia butakan mata, pekakkan telinga. sabarnya dia menghadapi, aku tak tahu nak gambarkan macam mana. dia tetap mampu dan masih tersenyum sampai hari ni. dia tak malu dengan agama yang baru dipeluknya tu. dia tak malu walaupun dia tak faham apa apa pun yang tertulis dalam Al Quran. tapi disebabkan semangat. semangat dia yang tak padan dengan umurnya tu yang menyebabkan dia betul betul nak belajar setiap huruf, ayat, dan makna di sebalik ayat suci itu. dia nak tahu semuanya. dia tak nak tertinggal apa apa.

sekarang dia masih lagi mengaji. walaupun baru belajar dua bulan lepas, dia dah pun masuk Iqra' 3. dia memang terang hati. dalam dia tak pandai apa apa, dia tetap berusaha. dia tak malu mengaku yang dia tak tahu. tapi dia lagi malu kalau dia tak belajar dan berusaha.

dia pun tahu.

kita yang Islam ni masih lagi sombong untuk membaca Kalam Allah yang satu tu. kita yang Islam ini sendiri tidak tahu apa isi Al Quran itu. kita yang Islam ni masih lagi malu untuk belajar mendalami agama sendiri, sedangkan masih ada lagi orang di luar sana yang berdoa tidak berhenti mohon diberi hidayah. mohon diberi sinar dan petunjuk. mohon ditetapkan hati dengan jalan baru yang dia pilih. kita yang Islam ini tidak menghargai Islam yang kita warisi. Islam. jangan hanya tinggal nama dan pengenalan diri dalam kad pengenalan. mohon dijauhkan.

sempena malam lailatul qadar yang berkat ni, cuba kita renung balik tentang diri kita. dan cuba perbaiki bersama segala kelemahan dan kekurangan. peluklah agama ini seerat yang mungkin. sesungguhnya Allah maha pengasih dan penyayang.

sekadar perkongsian dan peringatan bersama. tiba tiba tergerak hati untuk menulis ini di entri kali ini. dan yang sebenarnya, kanak kanak itu telah pun kehilangan ayahnya sewaktu dia berusia sepuluh tahun. ayahnya tidak sempat untuk bersama ahli keluarga yang lain untuk memeluk Islam.

sekadar gambar hiasan.
[link]

sama sama kita doakan ketenangan dan kesabaran gadis kecil dalam perjuangannya mencari Islam.

sekian terima kasih.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...