mereka yang hebat

Monday, October 13, 2014

imam kecil


kehadiran yang ditunggu di muka pintu.

setiap yang Allah aturkan pasti bersebab. aku dapat tawaran mengajar imam kecil membaca iqra', asas solat dan sirah nabawiyyah. ya. aku bukan ustazah tapi aku ditawarkan untuk menjadi tenaga pengajar buat dua imam kecil ini oleh ustazah yang mengajar aku ilmu tahsin dan tarannum al-Quran. blur juga aku mula mula. ustazah itu juga tahu yang aku bukan ustazah, tapi tetap meminta aku pergi mencurah ilmu buat si imam kecil. alasannya, aku masih muda dan belum ada komitmen. tambah pula mengajar anak anak kecil di sekolah rendah. maka menurutnya, aku calon yang sesuai. tergelak jugak dalam hati. memang tak sesuai kalau diikutkan. tapi aku tetap pujuk hati ni.

mungkin sebenarnya, perlahan lahan, Allah makbulkan doa dan permintaan aku satu persatu.

pertama kali aku jejak kaki ke rumah imam kecil, aku terpegun. rumahnya bersih dan agak luas. nenek dan atuk imam kecil pun mesra orangnya. aku mengajar dua orang kanak kanak lelaki. si abang berumur enam tahun. Asyraf namanya. dan si adik bernama Hakeem, berusia lima tahun. dua dua iras cina. sama sama berbaju melayu hijau daun dan berkopiah putih. sejuk mata memandang.

mereka memang baru hendak belajar mengenal huruf hijaiyah. pendedahan di tadika mereka juga ada, tetapi belum menyeluruh. jadi mereka ini masih kosong. bagi aku itu lebih mudah. boleh aku terus kenalkan dengan konsep dan bunyi huruf mengikut makhraj dan tajwid yang betul.

Asyraf memang rajin. selalunya dia yang akan bukakan pintu rumah kalau aku dah sampai. dia yang akan keluarkan iqra', papan putih, buku tulis, dan sebuah buku kanak kanak yang aku tinggalkan di rumah itu yang bertajuk 'Kisah kisah dari Al-Quran'. saja aku tinggalkan di rumah tu. harapannya buku itu dibaca oleh imam kecil dan menjadi asbab hidayah buat mereka.

dengan Hakeem pulak, aku kena banyak bersabar. selalunya Asyraf yang akan mengaji dulu. sementara itu, aku biarkan dulu Hakeem tengok kartun dekat tv, atau biar dia main dulu sampai puas. selalu juga aku kena main kejar kejar dengan Hakeem dulu, yang mana pengakhirannya aku akan pujuk dia untuk mengaji. semuanya demi satu atau dua muka surat. pengalaman bermain sambil mengajar Hakeem mengaji ni buat aku sedar, bahawa kanak kanak tidak boleh dipaksa. biar merangkak, biar perlahan lahan. umurnya pun baru lima tahun. aku taknak dia jadi bosan dengan ilmu al-Quran. biar dia menghayatinya sedikit demi sedikit. itu lebih baik dan lebih indah.

Hakeem dan Asyraf buat aku muhasabah, bahawa setiap kanak kanak dilahirkan berbeza cara hidup dan latarbelakangnya. tak semua antara kita dibesarkan dengan cara hidup islamik. hikmahnya, mereka membuat aku mencari jalan untuk mendidik mereka menghayati Islam dengan gaya dan pendekatan yang lebih urban, sesuai dengan jiwa mereka. bukan sekadar belajar mengenal dan membaca al-Quran tanpa menjiwai isinya. mereka, insan yang lebih fasih bertutur dan mengira dalam bahasa inggeris berbanding bahasa melayu. tidak mengapa. mudah dibentuk kerana mereka masih kecil. mereka, imam kecil.

baru sebulan belajar. hanya dua kali seminggu, tapi nyata mereka memang terang hati. Asyraf dah naik iqra' 2. satu hari boleh habiskan enam muka surat sekaligus. Hakeem aku tetapkan sekurang kurangnya dua muka surat. Hakeem sebenarnya lebih cepat berbanding abangnya. tapi mungkin sebab faktor umur, dia lebih suka main dulu baru belajar mengaji (selepas 'ustazah'nya ni pujuk dengan ayat power. hehehe)

satu perkara yang membuatkan aku sayang imam kecil berdua ni.. bila mereka panggil aku dengan panggilan 'ustazah'. sungguh. aku tak layak. masa mula mula dulu, aku hanya mahu mereka memanggil aku dengan gelaran 'mu'allimah' atau 'cikgu' sahaja. tetapi baru je aku datang, aku terus disapa 'ustazah'.

jujur cakap, hati ni tersentuh sangat. nak sangat cakap..jangan panggil ustazah..tak layak pun. tapi hati aku tak mampu nak menahan. tambahan pulak suara kanak kanak pulak tu yang memanggil. terlalu lembut di pendengaran.

akhirnya aku biarkan. panggilan tak penting. yang penting ilmu yang aku sampaikan pada imam kecil berdua ni.

tak sampai sebulan..imam kecil berdua dah mampu menyebut ikut makhraj yang betul.

huruf 'tha', 'ha', 'kho', 'dzal', 'sod', 'dhod', ' 'ain', 'ghain'.. yang biasanya salah disebut walaupun orang dewasa macam kita, boleh disebut dan dibezakan dengan makhraj yang betul. alhamdulillah. mereka cepat belajar.

makin lama aku mengajar mereka, makin aku kenal kesukaan dan kebiasaan mereka. Hakeem kalah bila aku pujuk dengan kisah nabi. terus duduk depan aku tak bangun bangun bila aku mula ceritakan kisah nabi pada Asyraf dan Hakeem. terus nak mengaji. katanya, nak jumpa nabi kena mengaji. baru Allah dengan nabi sayang.

Subhanallah. permata syurga ini.. anugerah terindah buat aku.

penawar.

setiap yang Allah beri pada kita mesti ada hikmah. Allah pilih aku, pastinya bersebab walaupun aku serba kekurangan. mereka didik aku erti sabar. mereka didik aku supaya mencari ilmu, agar ilmu yang aku terima bakal disampaikan kepada mereka pula. sejak mula mengajar mereka, aku lebih banyak mencari rujukan islami. doa harian, asas solat, dan semuanya. supaya ilmunya nanti tidak terpesong.


Asyraf


Hakeem



doakan perjuangan kami bertiga dalam jihad menuntut ilmu. in sha Allah.





sekian terima kasih.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...